Sunday, 23 March 2025

117 pelajar Orang Asli terima tajaan penuh pendidikan MUIP

 



KUANTAN – Seramai 117 pelajar Orang Asli menerima tajaan penuh bantuan pendidikan daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) bagi sesi persekolahan tahun 2025/2026.

Daripada jumlah tersebut, 47 pelajar telah diterima masuk ke tingkatan satu dan melanjutkan pengajian di beberapa Sekolah Menengah Agama Kerajaan Pahang (SMAN) dan Sekolah Menengah Ugama MUIP (SMUM) di seluruh negeri.

Melalui kenyataan di Facebooknya, MUIP menjelaskan, antara sekolah terlibat ialah Sekolah Menengah Agama (SMA) Al-Falah, Batu Talam; SMA Al-Ulum Addiniah, Dong di Raub; SMA At-Taufiqiah Al-Nasrih, Tanjung Besar; SMA Al-Maidah Addiniah, Padang Tengku di Lipis dan SMA Al-Attas, serta SMA Tengku Ampuan Fatimah di Pekan.

Terlibat sama, SMA Al-Ehsan, Kuantan; SMA Pulau Tawar, SMA Tembeling, di Jerantut; SMA Maran, Maran; SMA Bukit Ibam,Muadzam Shah, Rompin; SMA Darul Naim, SMA Al-Khairiah di Temerloh dan SMA Guai, Bera.

"Program tajaan itu merupakan sebahagian daripada Projek Perintis Bantuan Pendidikan Pelajar Orang Asli yang mula dilaksanakan sejak tahun 2022.

"Sehingga kini, jumlah keseluruhan pelajar Orang Asli yang menuntut di SMAN dan SMUM seramai 117 orang," katanya.

Menurutnya lagi, antara objektif utama program itu adalah untuk memberi peluang kepada anak-anak Orang Asli melanjutkan pelajaran di sekolah menengah agama.

"Ia juga bagi memperkasakan pendidikan Islam dalam kalangan pelajar beragama Islam dari komuniti Orang Asli dan melahirkan pendakwah dalam kalangan mereka," ujarnya.

Jelas kenyataan itu, pihak MUIP telah memperuntukkan RM609,600 sebagai bantuan pendidikan kepada semua pelajar terlibat pada sesi kali ini.

DIPETIK DARI SINAR HARIAN ONLINE



No comments:

Post a Comment